Berita Harian
Nasuha Badrul Huzaini – Jun 10, 2019 @ 12:44pm
nasuha@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan pengurusan parkir tempatan, Matrix Parking Solution Holdings Bhd (Matrix Holdings) merancang meluaskan operasinya dengan menguruskan lebih banyak medan parkir di Johor Bahru.

Awal tahun ini, syarikat berkenaan memperoleh kontrak menguruskan lebih 2,000 petak parkir di Hospital Sultanah Aminah dan kejayaan itu disifatkan sebagai pembuka jalan untuk Matrix Holdings menembusi pasaran di Johor Bahru.

Pengasas Bersama yang juga Pengarah Eksekutifnya, Alex Chin Wing Wah berkata pada masa ini pihaknya mengurus dan mengendalikan 27 medan parkir untuk pelbagai jenis hartanah dengan kebanyakannya terletak di Lembah Klang.

“Kami juga merancang untuk membeli lebih banyak medan parkir bagi meluaskan asas perolehan syarikat. Pengambilalihan yang bakal berlaku adalah sebahagian daripada strategi pelbagai peringkat bagi mengekalkan pertumbuhan mapan perniagaan.
Disyorkan Untuk Anda

“Selain itu, ia juga akan mencipta nilai pemegang saham dalam jangka panjang dan proses berkenaan akan dilaksanakan sepanjang tiga tahun selepas penyenaraian syarikat,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian Matrix Holdings di Pasaran LEAP Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Menerusi penyenaraian berkenaan, Matrix Holdings akan menjana RM2.60 juta menerusi penempatan khas sebanyak 20 juta saham Matrix Holdings pada harga 13 sen kepada pelabur sofistikated.

Daripada jumlah itu, RM200,000 akan digunakan bagi tujuan membeli peralatan medan parkir; RM800,000 bagi pembelian kemudahan parkir; RM900,000 bagi memenuhi keperluan modal kerja am manakala baki RM700,00 akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

Pada jam 9 pagi, dagangan saham Matrix Holdings dibuka pada 15.5 sen, premium 2.5 sen dengan 55,000 saham didagangkan.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengarah Eksekutifnya, Sukumarana K.S Nair dan wakil M&A Securities Sdn Bhd, Gary Ting.

Mengulas lanjut, Wing Wah berkata pihaknya juga merancang untuk mendapatkan lebih banyak kontrak pengurusan medan parkir di Lembah Klang.

“Kami mahu membangunkan peluang pasaran baharu di samping menggunapakai teknologi dan peralatan baharu untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan pengurusan parkir.

“Memandangkan kami adalah syarikat perkhidmatan pengurusan parkir pertama yang disenaraikan di Bursa Saham Malaysia, kami teruja dengan masa hadapan industri ini di negara ini.

“Nilai output kasar perkhidmatan parkir kereta di Lembah Klang meningkat daripada RM382.5 juta pada 2010 kepada RM783.4 juta pada 2015 mengikut Kadar Pertumbuhan Tahunan Dikompaun (CAGR) sebanyak 15.4 peratus,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *